Showing posts with label Perkongsian Rohani. Show all posts
Showing posts with label Perkongsian Rohani. Show all posts

Thursday, April 21, 2011

Hari lahir alarm kematian.

Hari ini 21 April 2011. Maka, genaplah sudah umurku 24 tahun. Pejam celik, pejam celik dan pejam celik lagi, baru aku tersedar waktu begitu cepat berlalu. 
Lalainya aku...


SELAMAT HARI LAHIR
HAPPY BIRTHDAY
FELIZ CUMPLEANOS
SANAH HELWA
MALIGAYANG KAARAWAN

Inilah antara alarm yang sentiasa berdering tetapi tidak pernah dipedulikan...

Setiap kelahiran pasti disusuli kematian...Itulah sebabnya setiap kali tibanya tarikh kelahiran, hati menjadi gundah dan tidak keruan kerana membayangkan umur yang semakin menghampiri penghujungnya. Terima kasih pada kalian semua kerana mengingatkan aku pada kematian.

Aku menjadi bimbang...bimbang kesuntukan waktu mengumpul "bekalan" untuk kehidupan di alam seterusnya. Waktu itu, tiada siapa yang mampu membantu. Hanya aku...aku yang menentukan kesudahan nasibku di "sana". Bertindaklah sebelum terlambat...

Waktu tidak diciptakan untuk berundur ke belakang. Begitu juga hayat. Kedua-duanya sentiasa bergerak ke hadapan, menuju suatu garisan penamat yang dinamakan maut. Itulah suratan takdir yang tidak mampu diubah oleh sesiapa pun kecuali kehendak Robbul Izzati. Maka, untuk memperoleh kesudahan yang baik, manfaatkanlah nikmat kelahiran. Terima kasih kepada mereka yang mengucapkan "Selamat Hari Lahir". Itu juga adalah motivasi untuk memuhasabahkan diri.

* Peringatan pada diri..."bekalan" dah cukup?


** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** **

Ingatlah Penghancur Segala Kenikmatan!!


Nabi s.a.w menganjurkan agar banyak mengingati kematian. Beliau bersabda, yang ertinya: “Perbanyaklah mengingati penghancur kenikmatan (maut)” (HR: At-Tirmidzi, hasan menurutnya). Imam Al-Qurthubi rahimahullah berkata, “Para ulama mengatakan, ucapan beliau, “Perbanyaklah mengingati penghancur kenikmatan”, merupakan ucapan ringkas tetapi padat, menghimpun makna peringatan dan amat mendalam pengertiannya. Orang yang benar-benar mengingati kematian pasti akan mengurangi kenikmatan yang dirasakannya ketika itu. Firman Allah s.w.t dalam surah Ali ‘Imran ayat 185, ertinya, “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati”.

Siapa Orang Yang Paling Cerdik?

Ibnu Umar r.a pernah berkata, “Aku pernah menghadap Rasulullah s.a.w sebagai orang ke sepuluh yang datang, lalu salah seorang dari kaum Ansar berdiri seraya berkata, “Wahai Nabi Allah, siapakah manusia yang paling cerdik dan paling tegas?” Beliau menjawab, “(adalah) Mereka yang paling banyak mengingat kematian dan bersedia menghadapinya. Mereka itulah manusia-manusia cerdas; mereka pergi (mati) dengan harga diri dunia dan kemuliaan akhirat.” (HR: Ath-Thabrani, dishahihkan al-Mundziri).

Faedah Mengingat Kematian
·         Mendorong diri untuk bersiap menghadapi kematian sebelum kedatangannya.
·         Memendekkan angan-angan untuk tinggal lama di dunia yang fana ini, kerana panjangnya angan-angan adalah punca paling besar lahirnya kelalaian.
·         Menjauhkan diri dari cinta dunia dan rela dengan yang sedikit.
·         Berkeinginan pada akhirat dan mengajak untuk berbuat taat.
·         Meringankan seorang hamba dalam menghadapi cobaan dunia.
·         Mencegah kerakusan dan ketamakan terhadap kenikmatan duniawi.
·         Mendorong untuk bertaubat dan menyesali kesalahan masa lalu.
·         Melembutkan hati, membuat mata menangis, sebagai motivasi untuk mempelajari agama dan mengusir keinginan hawa nafsu.
·         Mengajak bersikap rendah diri (tawadhu’), tidak sombong, dan tidak berlaku zalim.
·         Mendorong sikap toleransi, memaafkan teman dan menerima alasan orang lain.

Sumber Rujukan: My Qalbu


Friday, December 10, 2010

Sifat-sifat umat Nabi Muhammad s.a.w

Berikut adalah sifat-sifat umat Nabi Muhammad yang dipetik dari pelbagai Hadis dan atsar untuk renungan kita bersama:

(1) Berkata Wahab bin Munabbih rahimahullah: Apabila Musa a.s. membaca firman Allah, beliau terlihat sifat-sifat kelebihan umat Muhammad, lalu beliau berkata, "Ya Tuhanku! siapakah gerangan umat yang dibelaskasihani, yang kudapati tersebut dalam firman ini?. Allah berfirman, "Itulah umat Muhammad. Mereka redha dengan rezeki yang sedikit yang Aku berikan kepadanya. Maka Aku pun redha dengan amalan yang sedikit dari mereka. Akan Aku masukkan mereka ke dalam syurga dengan hanya mengucapkan Laa Ilaaha Illallah saja.

(2) Berkata Musa a.s.: Aku dapati dalam firman ini terdapat suatu umat yang dibangkitkan pada Hari Kiamat, sedang wajah-wajah mereka bersinar cahaya laksana bulan purnama, jadikanlah mereka itu umatku! Allah berfirman: Mereka itu adalah umat Muhammad. Aku bangkitkan mereka itu pada hari Kiamat dengan wajah-wajah yang bersinar dan bercahaya disebabkan bekas-bekas dari wudhu' dan sujud.

(3) Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam firman ini suatu umat yang berkain selendang di punggung masing-masing, dan bersenjatakan pedang dibahu masing-masing. Mereka itu orang-orang yang sentiasa bertawakkal dan dadanya penuh keyakinan. Mereka melaung-laungkan nama Allah di setiap rumah Allah untuk berjihad atas nama kebenaran, sehingga akhirnya mereka pun membunuh Dajjal, jadikanlah mereka itu umatku! Allah berfirman: Tidak! Mereka itu umat Muhammad.

(4) Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam firman-firman ini terdapat suatu umat yang menyembahMu sehari semalam lima kali sembahyang pada lima waktu, sehingga terbukalah pintu-pintu langit untuk mereka, dan turunlah rahmat ke atas mereka. Jadikanlah mereka itu umatku! Allah berfirman: Mereka itu adalah umat Muhammad.

(5) Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam firman-firman ini terdapat suatu umat yang berpuasa sebulan pada bulan Ramadhan untukMu, lalu Engkau mengampuni mereka terhadap segala kesalahan mereka yang sebelum   itu, jadikanlah mereka itu umatku! Allah berfirman: mereka itu umat Muhammad.

(6) Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam firman-firman ini, terdapat suatu umat yang mengunjungi Baitulharam (Ka'bah) untukMu. Mereka tiada keperluan lain untuk ditunaikan. Mereka hanya meratap menangisi diri mereka, serta mengangkat suara dengan takbir membesarkan Tuhan, jadikanlah mereka itu umatku! Allah berfirman: Mereka itu umat Muhammad. Musa menambah kata: Apakah ganjaran mereka atas perbuatan itu? Allah menjawab: Aku akan menambah mereka maghfirat (keampunan) dan Aku akan benarkan mereka membari syafaat (jaminan) kepada sesiapa yang datang sesudah mereka.

(7) Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam firman-firman ini terdapat suatu umat yang memohon keampunan dari dosa-dosanya. Mereka menyuap suatu suapan ke dalam mulutnya, dan belum sempat makanan itu sampai ke perutnya, melainkan dosa-dosa itu telah diampunkan Tuhan. Mereka memuliakan menyuap makanan itu dengan menyebut namaMu serta mengakhirinya dengan mengucap syukur Alhamdulillah, jadikanlah mereka itu umatku. Allah berfirman: mereka itu umat Muhammad.

(8) Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam firman-firman ini terdapat suatu umat, mereka itulah orang-orang yang terdahulu dibangkitkan menuju ke Mahsyar pada Hari Kiamat dan mereka jugalah orang-orang yang terakhir dari makhluk-makhluk yang lain, ya Tuhanku, jadikanlah mereka itu umatku! Allah berfirman: Mereka itu umat Muhammad.

(9) Berkata Musa a.s.: Aku dapati di dalam firman-firman ini suatu umat yang menyimpan kitab-kitab sucinya di dalam dadanya, mereka membacanya dimana mereka suka, jadikanlah mereka itu umatku! Allah berfirman: Mereka itu umat Muhammad.

(10) Berkata Musa a.s.: Ya Tuhanku! Aku dapati di dalam firman-firman ini suatu umat yang kiranya mereka bercita-cita untuk mengerjakan suatu kebajikan, malah tiada dikerjakannya maka akan tercatitlah baginya suatu kebajikan. Akan tetapi jika diteruskan cita-citanya dengan mengerjakan kebaikan itu, maka akan tercatatlah baginya sepuluh kali ganda sepertinya, sehingga menjadi tujuh ratus kali ganda, jadikanlah merek itu umatku! Allah berfirman: Itulah umat Muhammad.

(11) Berkata Musa a.s.: Ya Tuhanku! Aku dapati di dalam firman-firman ini suatu umat yang kiranya mereka bercita-cita untuk melakukan suatu kejahatan, kemudian tiada dilakukannya, maka tiadalah dicatatkan ke atasnya dosa. Akan tetapi jika diteruskan cita-cita itu dengan melakukan kejahatan, barulah dikira atasnya satu dosa, jadikanlah mereka itu umatku! Allah berfirman: Itulah umat Muhammad.

(12) Berkata Musa a.s.: Ya Tuhanku! aku dapati di dalam firman-firman ini suatu umat, mereka itu sebaik-baik manusia. Mereka menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat jahat, jadikanlah mereka itu umatku! Allah berfirman: Mereka itulah umat Muhammad.

(13) Berkata Musa a.s.: Ya Tuhanku! Aku dapati di dalam firman-firman ini suatu umat yang dibangkitkan pada Hari Kiamat dalam tiga golongan. Segolongan akan memasuki syurga tanpa hisab. Segolongan lagi akan dihisab dengan penghisaban yang ringan sahaja. Dan golongan terakhir diampunkan Tuhan segala dosanya, lalu mereka pun memasuki syurga, jadikanlah mereka itu umatku! Allah berfirman: Mereka itu umat Muhammad.

(14) Berkata Musa a.s.: Ya Tuhanku! Engkau telah anugerahkan segala kebaikan untuk Ahmad (Muhammad) dan umatnya, maka jadikanlah aku dari umatnya! Allah Ta'ala berfirman, sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Wahai Musa! Sesungguhnya Aku telah memilih engkau dari antara manusia untuk menyampaikan perutusan-Ku dan percakapan-Ku, maka terimalah apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah engkau menjadi orang-orang yang bersyukur." (Al-A'raf: 144)
(15) Musa a.s. berkata: Ya Allah! Adakah di atas muka bumi ini suatu kaum yang lebih mulia disisiMu daripada umatku. Engkau telah melindunginya dengan awan, Engkau telah turunkan dari langit makanan Man dan Salwa untuk mereka. Allah berfirman: Wahai Musa! tidakkah engkau mengetahui, bahawasanya kelebihan umat Muhammad atas sekalian umat yang lain, laksana kelebihanKu atas sekalian makhluk-makhlukku.

(16) Berkata Musa a.s.: Ya Tuhanku! Berilah aku melihat mereka (umat Muhammad)! Allah berfirman: Engkau tidak akan dapat melihat mereka. Tetapi jika engkau mahu mendengar suara mereka, bolehlah Aku dengarkan. Berkata Musa: Baiklah, aku suka. Berfirman Allah Ta'ala: Wahai umat Muhammad! maka sekalian umat Muhammad menyahut dengan suatu suara yang keras: Labbaikallahumma Labbaika! (kami menyahut, duhai Tuhan, kami menyahut), padahal ketika itu mereka sekalian masih berada di dalam tulang-tulang sulbi bapa-bapa mereka (belum dilahirkan lagi).

Maka Allah Ta'ala berkata:  RahmatKu dan salam sejahteraKu atas kamu. RahmatKu mendahului kemurkaanKu, dan keampunanKu mendahului penyiksaanKu. Ketahuilah bahawasanya Aku telah mengampuni kamu sekalian sebelum kamu memohon ampun kepadaKu, Aku telah mengabuli kamu sebelum kamu memohon kepadaKu. Lantaran itu, barangsiapa diantara kamu yang menemuiKu sedang dia menyaksikan LAA ILAAHA ILLALLAAH WA-ANNA MUHAMMADAR RASULULLAH (tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad Rasul Allah) nescaya Aku mengampuni segala dosanya.

Berkata Rasulullah s.a.w.: Allah s.w.t ingin memberi kurniaNya kepadaku dengan memfirmankan ayat berikut: Dan tiadalah engkau (Muhammad) dipenjuru gunung Thur Sina, ketika Kami menyeru. Yakni umatmu sehingga Musa a.s. dapat mendengar percakapan mereka.

Subahannallah...betapa sayangnya Allah pada umat Nabi Muhammad sehingga dikurniakan pelbagai nikmat yang tidak pernah diberikan kepada umat yang lain. Adakah kita bersyukur dengan kurniaan Allah dan melakukan perkara yang diperintahkan?. Masha Allah...kata-kata tidak dapat menggambarkan betapa besar rasa kesyukuran di atas nikmat yang dibekalkan selaku umat akhir zaman, umat Kekasih Allah. Apakah kita layak dipanggil umat Muhammad seperti yang dipinta oleh Musa a.s.? Adakah kita layak berada di zaman umat Muhammad?
Tanyalah diri, tepuk dada tanya iman, gunakan akal fikiran untuk berfikir..Allahu Akhbar..

Tuesday, December 7, 2010

Menganiaya manusia amat berat hukumannya pada Hari Kiamat


Ketahuilah bahawa antara hal-hal yang sangat berat dan sangat keras diperhitungkan pada Hari Kiamat ialah melakukan penganiayaan terhadap manusia. Sesungguhnya penganiayaan itu tidak akan dibiarkan terlepas begitu sahaja oleh Allah s.w.t.

Terdapat 3 jenis penganiayaan:
1) Penganiayaan yang tidak akan dimaafkan sama sekali oleh Allah Ta'ala iaitu syirik (menduakan Tuhan).

2) Penganiayaan yang tidak akan dibiarkan berlalu begitu sahaja oleh Allah Ta'ala iaitu penganiayaan manusia  terhadap manusia lain.

3) Penganiayaan yang tiada dipedulikan oleh Allah Ta'ala iaitu penganiayaan manusia terhadap dirinya sendiri dalam perkara antaranya dengan Tuhannya.

Rasulullah s.w.t bersabda: "Tahukah kamu siapa dia orang muflis dari umatku? Orang ramai berkata: Orang muflis itu ialah orang yang tiada dirham atau harta benda. Maka, baginda berkata, orang muflis dari umatku ialah orang yang datang pada Hari Kiamat dengan solat, zakat, puasa (yang banyak), akan tetapi dia telah memaki orang ini, dan menuduh orang orang itu; dia memakan harta si fulan, dan memukul si fulan, maka si fulan ini akan diberikan daripada kebajikannya, dan si fulan itu diberikan kepada kebajikannya, dan setelah habis semua kebajikannya dan masih ada lagi yang belum dibayar, maka diambil pula dosa-dosa si fulan dan si fulan, lalu dipikul ke atasnya, setelah selesai semua itu, dia pun dilontarkan ke dalam neraka."

Diriwayatkan bahawa manusia pada hari Kiamat nanti akan bergembira kiranya ada hak-hak yang tertentu atas ayahnya atau atas anaknya agar dia dapat menuntut hak-hak itu daripada mereka serta menyempitkan keadaan mereka pada hari itu. Dalam sebuah hadis ada menyebut: "Barangsiapa yang mengambil barang saudaranya secara aniaya, maka hendaklah ia minta dihalalkan daripadanya sebelum mendatangi suatu hari yang mana tiada berguna dinar atau dirham (wang ringgit). Tetapi yang dipandang pada hari itu ialah kebajikan dan kejahatan. Jika dia ada banyak kebajikan, diambil dari kebajikannya ataupun diambil kejahatan orang lain lalu diletakkan kepada kejahatannya, kemudian dia pun dilontarkan ke dalam api neraka."

Sesudah itu, ketahuilah bahawa Hari Kiamat itu ialah hari yang besar. Firman Allah Ta'ala: "Tidakkah orang-orang itu mengira bahawa mereka akan dibangkitkan pada hari besar, pada hari manusia berdiri dihadapan Tuhan semesta alam." (Al-Muthaffifun:4-6)

Disitulah manusia akan ditahan dalam jangka masa yang panjang dengan menghadapi berbagai-bagai cubaan dan bencana. Allah Ta'ala telah memberitahu kita di dalam Kitab-Nya yang mulia tentang hal ehwal hari itu dan bencana-bencananya yang panjang dan tidak tertahan lagi. Demikian pula Rasulullah s.a.w. pun telah menyifatkan hari itu di dalam beberapa hadis-Nya. Para salaf salih telah mengingatkan kita tentang apa yang akan berlaku pada hari itu, sesuai dengan apa yang mereka dapati di dalam Al-Quran dan Hadis. Para ulama pun tidak ketinggalan, mereka telah berpenat lelah menulis berbagai-bagai buku untuk menerangkan tentang Hari Kiamat, perihal Hari Kiamat, dan bencana-bencana yang berlaku pada hari itu umpamanya Kitab Dzikrul Maut dan kitab-kitab sesudahnya dari kitab besar Ihya' Ulumuddin, karya Hujjatul Islam Imam Ghazali rahimahullah. Kitabnya yang lain berjudul Kitab Ad-Durrah Al-Fakhirah dalam hal yang sama. Kemudian Kitab At-Tadzkirah, karya Imam Al-Qurthubi rahimahhullah, dan kitab Syarhus Shudur yang menceritakan tentang orang-orang mati dan keadaannya di dalam kubur, dan kitab satu lagi ialah Kitab Al-Budur As-Safirah yang membincangkan tentang hal ehwal Hari Akhirat, kedua-duanya adalah hasil karya Al-Hafizh As-Sayuthi rahimahullah.

Perkara yang disebutkan ini hanyalah yang asas dan akarnya sahaja. Jika ingin menambah pengetahuan dengan lebih mendalam tentang topik ini bolehlah merujuk dan meneliti senarai kitab yang disebut diatas. Hanya kepada Allah sahaja tempat memohon pertolongan dan taufik, amin.

Monday, December 6, 2010

Umur Manusia


Menurut kajian yang telah dilakukan oleh Imam Habib Abdullah Haddad dalam bukunya yang bartajuk "Peringatan tentang umur insan", terdapat 5 peringkat umur yang tanpa kita sedari telah dan akan kita lalui. Hanya orang2 yang sedar saja mungkin perasan tentang hakikat ini. Dalam setiap peringkat umur itu terdapat bermacam-macam situasi dan pergolakan yang kita alami. Mungkin ada yang alami hidup yang sama dan ada juga yang berbeza-beza. Secara ringkasnya saya akan nyatakan peringkat2 umur tersebut.

Umur pertama:
Dari sejak Allah Ta'ala menciptakan Adam a.s dan dibekalkan zuriat pada tulang punggungnya. Diantaranya ialah zuriat yang bahagia dan juga zuriat yang celaka. Zuriat tersebut berpindah terus menerus dari tulang sulbi lelaki ke dalam rahim wanita, dan dari rahim wanita ke tulang sulbi lelaki, sehinggalah lahir tiap2 orang dari antara ayah dan ibunya (mempunyai iras ayah atau ibu).

Umur kedua:
Bermula sejak lahirnya manusia dari kedua ibu-bapanya ke dunia sehinggalah meninggal dunia dan keluarnya ia dari alam dunia ini.

Umur ketiga:
Dari sejak keluarnya manusia dari alam dunia ini dengan kematian sehinggalah ia dibangkitkan Allah selepas  "Shur" (sangkakala) ditiup, iaitu semasa manusia menunggu di alam Barzakh.

Umur keempat:
Bermula apabila keluarnya manusia dari kubur, ataupun bermula dari masa perintah Allah untuk ditiupkan Shur pada hari kebangkitan, sehinggalah tiba hari dimana manusia sekalian dikumpulkan di hadapan pengadilan Allah Ta'ala untuk ditimbang semua amalannya serta dihisab. Sesudah itu, meniti shirath, menerima kitab masing2 dan sebagainya (berita hal ehwal Hari Kiamat, keadaannya, kesudahannya serta kesulitan yang bermacam2 lagi).

Umur kelima:
Bermula sejak kemasukan manusia ke dalam syurga dan kekal di dalamnya. Itulah umur yang tiada penghujungnya. Ataupun dari sejak kemasukan ahli-ahli neraka ke dalam neraka, sedang keadaan mereka antara satu sama lain adalah tidak sama. Ahli2 neraka berbeza-beza jenisnya, ada yang bernasib baik kerana dapat keluar dari neraka. Orang2 ini adalah orang yang berdosa dari golongan ahli tauhid, samada dengan mendapat syafaat mahupun tidak dengan syafaat. Tetapi tidak ada batas atau akhir bagi orang2 kafir. Mereka akan kekal di dalam neraka buat selama-lamanya.

Adakah kita sudah bersedia menghadapi peringkat2 umur manusia? hidup dan mati sememangnya diatur oleh pencipta kita. Kita hanya mampu mengatur hidup sendiri selagi roh dikandung badan dengan melakukan perintah Allah sebagai kuota dalam memilih penempatan diperingkat umur yang terakhir (peringkat 5) iaitu samada ke syurga ataupun neraka. Itu pun berlandaskan amalan yang telah dilakukan di dunia..Mashaallah..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...