Monday, December 13, 2010

Tiga pesanan

Hari itu, kuliah terakhir bersama pensyarah yang amat dikasihi berlalu dalam suasana yang sayu dan pilu. Gurauan-gurauan yang sentiasa menghiburkan hati sepanjang kuliah pasti tidak akan kedengaran sudah. Baginilah adatnya hidup, hari ini kita bertemu, berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama, esok pula berpisah entah bila akan bersatu semula. Esakan, tangisan menjadi bukti betapa akrabnya hubungan kami...

Sebelum kuliah berakhir, pensyarah itu sempat menyampaikan beberapa pesanan. Sungguh, kami semua agak tersentuh dengan pesanan yang disampaikan. Pesanan itu cuma ada tiga sahaja tapi entah..seperti berpuluh-puluh pesanan pula lagaknya.

"Adik-adikku yang dikasihi sekalian, sebelum berakhirnya kuliah yang terakhir ini, akak nak adik-adik manfaatkanlah ilmu yang diperolehi. Ilmu jika tidak diamalkan tidak ada gunanya sekalipun bergelar doktor falsafah, ataupun pangkat yang lebih tinggi daripada itu."

Dewan kuliah senyap saja seakan-akan tidak berpenghuni...

"Akak ada tiga pesanan yang adik-adik perlu lakukan" Pensyarah menyambung kata..

"Yang pertama, jangan tinggalkan solat"

"Yang kedua, jangan membelakangkan ibu bapa"

"Dan yang ketiga, kenanglah guru-guru di dalam solat (berdoa)"

Ketika pesanan tersebut disampaikan, kedengaran suara esakan, tangisan dan juga kelihatan ada yang menyeka mata dek gugurnya butir-butir jernih. Betapa sayangnya pensyarah pada kami semua..amat menyentuh kalbu..

Sebelum melangkah keluar, kami mengambil kesempatan yang ada untuk bermaaf-maafan dan bersalam-salaman, meminta restu dihalalkan segala tunjuk ajar, makan minum dan juga agar peroleh kejayaan sepertinya hingga cita yang diimpi dapat dijulang.

Kini, walaupun peristiwa tersebut telah berlalu, namun situasi tersebut masih segar difikiran menjadi pengemudi tindak tanduk yang pastinya memberi ketenangan dan kepuasan pada diri sendiri. Alhamdulillah, hingga saat ini, pesanan itu masih kukuh tersemat diruang memori. Semoga, rakan-rakan yang lain juga masih mengingati pesanan-pesanan itu...

* Terima kasih kak atas pesanan dan dorongan yang diberikan. Semoga kak sentiasa berada dalam keadaan sihat, murah rezeki dan bahagia disamping keluarga yang tercinta..Amin..

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...