Bertindak atas keperluan semasa, KTM Komuter mengambil inisiatif memperkenalkan koc wanita yang pertama di Negara ini pada 27 April 2010. Pelaksanaan Koc Wanita ini adalah berpandukan statistik yang menunjukkan 60% pengguna perkhidmatan KTM Komuter adalah terdiri daripada kaum wanita.
Koc wanita berada di gerabak yang tengah dan dibezakan dengan pelekat khas koc wanita yang berwarna merah jambu (pink). Para pelanggan akan dapat mengenali koc ini melalui pelekat khas yang dipamerkan di tingkap, pintu dan di dalam koc. Manakala di stesen, penumpang boleh mengenal pasti lokasi pemberhentian Koc Wanita ini melalui kain rentang yang dipamerkan di platform dan tiang yang diwarnakan dengan warna merah jambu.
Secara ringkasnya kedudukan Koc Wanita bagi setiap tren Komuter yang mempunyai tiga (3) koc (gerabak) adalah seperti berikut:
- Koc Hadapan - Koc Biasa (lelaki dan wanita)
- Koc Tengah - Koc Wanita (wanita sahaja)
- Koc Belakang - Koc Biasa (lelaki dan wanita)
Pengenalan Koc Wanita ini adalah bertujuan untuk memberi lebih keselesaan dan jaminan keselamatan kepada penumpang wanita daripada risiko gangguan seksual dan bersesak-sesak dengan penumpang lelaki. Walau bagaimanapun, kanak-kanak lelaki berumur kurang daripada 12 tahun yang membuat perjalanan bersama pengiring/saudara wanita mereka dibenarkan menaiki koc ini.
Pengguna wanita tidak diwajibkan menggunakan Koc Wanita sahaja ketika menggunakan perkhidmatan KTM Komuter. Mereka boleh memilih sama ada untuk menggunakan Koc Wanita atau koc biasa. Sementelah kemudahan disediakan, KTM Berhad menggalakkan pengguna wanita untuk mencuba kemudahan Koc Wanita ini.
Diharap agar semua pihak dapat memberi kerjasama bagi memastikan pengenalan koc ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.
No comments:
Post a Comment