Saturday, April 16, 2011

Kisah bumi tak bagi malaikat ambil tanah untuk dijadikan manusia


Pada suatu ketika, Allah SWT menitahkan kepada malaikat Jibril supaya turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanahnya untuk mencipta Adam, manusia pertama. Akan tetapi apabila Jibril sampai ke bumi, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam, kerana bumi khuatir Adam jadi maksiat kepada Allah.

Lalu Jibril kembali ke hadrat Tuhan, kerana ia tidak dapat berbuat apa-apa, setelah mendengar sumpah bumi. Seterusnya, Allah memerintah malaikat Mikail, jawapan bumi masih sama dan selepas itu Allah memerintahkan malaikat Israfil, tetapi malangnya jawapan bumi masih tidak berganjak, dan masing-masing kembali dengan tangan kosong. Lalu yang terakhir, Allah menyuruh malaikat Izrail turun ke bumi. Firman Allah, Hai Izrail, engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil tanah. Meskipun bumi bersumpah-sumpah dengan ucapan, bagaimanapun jangan engkau mundur. Katakan bahawa kerjakan atas perintah dan atas namaKu.

Apabila Izrail turun ke bumi dan menyampaikan perintah Allah kepada bumi, maka akhirnya barulah bumi mengizinkan akan tanahnya itu diambil. Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah, kembalilah dia ke hadrat Allah. Lalu Allah berfirman; Ya Izrail, pertama engkau yang Ku-tugaskan mengambil tanah, dan kemudian di belakang hari kelak akan Kutugaskan engkau mencabut roh manusia. Maka Izrail khuatir kerana bimbang dibenci oleh umat manusia kelak. Lalu Allah berfirman lagi; Tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu, Aku yang mengaturnya, dan Aku jadikan kematian mereka itu bersebab, terbunuh, terbakar, sakit dan sebagainya.

Kisah ini merupakan riwayat yang menceritakan tentang proses awal penciptaan Adam; pengambilan tanah daripada bumi. Persoalan utama daripada riwayat ini adalah keenganan bumi untuk diambil tanahnya. Kebimbangan bumi bukanlah kerana takut tanahnya kurang, atau takut rupanya berlubang-lubang, tetapi bumi khuatir seandainya Adam itu menjadi maksiat kepada Allah. Tidakkah itu bermakna bumi telah menyaksikan kerosakan yang dilakukan oleh manusia terdahulu di muka bumi ini? Mengapa tiada riwayat yang menceritakan akan keengganan bumi apabila Allah S.W.T hendak menciptakan kambing, ikan atau lembu? 

Fikir-fikirkanlah...Sekian...



Sedikit pengalaman & kajian 
Posted by Darul Manzil 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...