Hari itu hari isnin, hari sibuk bagi ku. Kuliah sudah bermula setengah jam yang lalu. Seperti biasa, aku melangkah deras seperti air berlari. Agaknya setiap detik sama dengan selangkah perjalananku. Ketika aku terburu-buru menuju ke kelas, dari jauh aku terlihat nenek itu lagi, nenek yang mempunyai tompok-tompok warna kulit yang jelas tidak sekata di seluruh badan. Aku sendiri tidak pasti apakah jenis penyakit kulit itu..
Melihatkan nenek itu yang menyorong kereta sorongnya tanpa mempedulikan kereta yang lalu lalang, aku berhenti sebentar. Aku memerhati dan mengawasi gerak geri nenek itu bersama kereta sorongnya yang penuh dengan buah durian. Simpati mula menguasai diriku. Tatkala kenderaan yang lalu lalang berselisih dengan nenek itu, hati menjadi risau. Risau berlaku perkara yang tidak diingini...na'uzubillah.
Oleh kerana kesuntukan masa, aku meneruskan langkahku menuju ke kelas. Dipertengahan jalan, baru aku tersedar paper bag ku tertinggal di sebuah kedai fotostate. Tanpa membuang masa, aku berpatah balik ke kedai untuk mengambil paper bag itu. Usai, aku terus melangkah keluar dari kedai tadi dan menuju ke kelas. Setibanya di gate, aku seperti terpanggil untuk berbicara dengan nenek itu. Nenek itu hanya duduk di lantai simen bersama kereta sorong penuh dengan durian yang hendak dijualnya.
Aku memulakan bicara...
"Nek...berapa harga durian ni?" tanyaku walaupun sudah mengetahui perihal duriannya dan tanpa berniat untuk membeli.
Dengan penuh yakin, nenek itu menjawab "tiga biji RM 10 sayang", ringkas. Aku sedikit terusik dengan perkataan terakhir yang diucapkannya, "sayang".
"Dah banyak yang kena belikan nek.." aku cuba untuk menceriakan suasana.
"Ha'ah...tadi ada banyak. Sekarang, ini je yang tinggal", balasnya. Dengan membahaskan dirinya makcik, nenek itu menyambung kata, "Dulu, makcik kena tipu, orang beli durian makcik, dorang ingat makcik tak tau mengira. Dorang curi tapi makcik buat tak tau je. Takpe la..waktu tu dorang dapat menipu makcik. Kali ni, dorang tak dapat nak menipu dah...makcik tak nak jual dengan dorang", saya hanya mampu mendengar. Tiada ruang untuk memintas.
"DummM..drrruummM..dum", bunyi gempita guruh kedengaran.
"Ehh..guruh la nek, nanti berteduh la dekat bus stop kalau hujan", kataku ringkas.
"Haaa...guruh tu nak panggil hujan, maknanya hujan dah nak turun. Tak payah pegi mana-mana. Makcik lebih suka kalau hujan." Aku terkasima dengan jawapannya.
"Nanti nek kena hujan tau", balasku.
"Takpe, makcik lebih suka kena hujan, dah biasa dah. Kalau hujan bagus la, makcik dapat mandi. Nanti kalau nak mandi lagi boleh mandi dekat rumah. Dua kali mandi..(tertawa)." Aku terdiam seketika.
"Ni nak pegi mengajar ke?" soalnya padaku.
"Tidaklah nek, baru nak masuk kelas," jawabku sambil melihat jam di tangan sekilas langsung.
"Owhh baru nak pegi kelas...belajar lek lok tau. Nanti boleh jadi guru. Dah keja nanti senang", katanya.
"Ye nek...Insyaallah", jawabku terharu.
Guruh berbunyi lagi. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk ke kelas. Aku meminta diri dan terus pergi meninggalkan nenek itu dengan perasaan yang bercampur baur.
* * * * *
Aku terimbas kembali peristiwa itu. Ternyata, nenek itu menyimpan seribu rahsia yang sukar untuk di mengerti oleh orang kebanyakan yang tidak pernah merasa susah. Setiap bicara, sepertinya ada sesuatu yang hendak disorokkan.
Aku mengerti kenapa nenek itu mengerah tulang empat keratnya menyorong kereta sorong yang berisi durian untuk dijual...
Aku mengerti kenapa nenek itu sanggup berjalan jauh tanpa mempedulikan fizikalnya yang lemah...
Aku mengerti kenapa nenek itu berada di tempat itu...
Aku mengerti maksud tersirat yang terselit di dalam nasihatnya...
Aku juga mengerti kenapa nenek itu berbohong, sanggup bermandi hujan...
Itulah kehidupan...
3 comments:
Sesuatu yang tersirat penuh hikmah disebaliknya ^_^ welkem to wasaber.. hehe..
Entri Lelatest
99 Hari Kisah Klasik Kita : Doa Malam Pertama
mmm..sedih pula baca cerita ni..:)
Itulah kehidupan...banyak pengajarannya.
Post a Comment