Terdapat 3 jenis penganiayaan:
Rasulullah s.w.t bersabda: "Tahukah kamu siapa dia orang muflis dari umatku? Orang ramai berkata: Orang muflis itu ialah orang yang tiada dirham atau harta benda. Maka, baginda berkata, orang muflis dari umatku ialah orang yang datang pada Hari Kiamat dengan solat, zakat, puasa (yang banyak), akan tetapi dia telah memaki orang ini, dan menuduh orang orang itu; dia memakan harta si fulan, dan memukul si fulan, maka si fulan ini akan diberikan daripada kebajikannya, dan si fulan itu diberikan kepada kebajikannya, dan setelah habis semua kebajikannya dan masih ada lagi yang belum dibayar, maka diambil pula dosa-dosa si fulan dan si fulan, lalu dipikul ke atasnya, setelah selesai semua itu, dia pun dilontarkan ke dalam neraka."
Diriwayatkan bahawa manusia pada hari Kiamat nanti akan bergembira kiranya ada hak-hak yang tertentu atas ayahnya atau atas anaknya agar dia dapat menuntut hak-hak itu daripada mereka serta menyempitkan keadaan mereka pada hari itu. Dalam sebuah hadis ada menyebut: "Barangsiapa yang mengambil barang saudaranya secara aniaya, maka hendaklah ia minta dihalalkan daripadanya sebelum mendatangi suatu hari yang mana tiada berguna dinar atau dirham (wang ringgit). Tetapi yang dipandang pada hari itu ialah kebajikan dan kejahatan. Jika dia ada banyak kebajikan, diambil dari kebajikannya ataupun diambil kejahatan orang lain lalu diletakkan kepada kejahatannya, kemudian dia pun dilontarkan ke dalam api neraka."
Sesudah itu, ketahuilah bahawa Hari Kiamat itu ialah hari yang besar. Firman Allah Ta'ala: "Tidakkah orang-orang itu mengira bahawa mereka akan dibangkitkan pada hari besar, pada hari manusia berdiri dihadapan Tuhan semesta alam." (Al-Muthaffifun:4-6)
Disitulah manusia akan ditahan dalam jangka masa yang panjang dengan menghadapi berbagai-bagai cubaan dan bencana. Allah Ta'ala telah memberitahu kita di dalam Kitab-Nya yang mulia tentang hal ehwal hari itu dan bencana-bencananya yang panjang dan tidak tertahan lagi. Demikian pula Rasulullah s.a.w. pun telah menyifatkan hari itu di dalam beberapa hadis-Nya. Para salaf salih telah mengingatkan kita tentang apa yang akan berlaku pada hari itu, sesuai dengan apa yang mereka dapati di dalam Al-Quran dan Hadis. Para ulama pun tidak ketinggalan, mereka telah berpenat lelah menulis berbagai-bagai buku untuk menerangkan tentang Hari Kiamat, perihal Hari Kiamat, dan bencana-bencana yang berlaku pada hari itu umpamanya Kitab Dzikrul Maut dan kitab-kitab sesudahnya dari kitab besar Ihya' Ulumuddin, karya Hujjatul Islam Imam Ghazali rahimahullah. Kitabnya yang lain berjudul Kitab Ad-Durrah Al-Fakhirah dalam hal yang sama. Kemudian Kitab At-Tadzkirah, karya Imam Al-Qurthubi rahimahhullah, dan kitab Syarhus Shudur yang menceritakan tentang orang-orang mati dan keadaannya di dalam kubur, dan kitab satu lagi ialah Kitab Al-Budur As-Safirah yang membincangkan tentang hal ehwal Hari Akhirat, kedua-duanya adalah hasil karya Al-Hafizh As-Sayuthi rahimahullah.
Perkara yang disebutkan ini hanyalah yang asas dan akarnya sahaja. Jika ingin menambah pengetahuan dengan lebih mendalam tentang topik ini bolehlah merujuk dan meneliti senarai kitab yang disebut diatas. Hanya kepada Allah sahaja tempat memohon pertolongan dan taufik, amin.
No comments:
Post a Comment